Bismillah ar-Rahman ar-Rahim
Andaikan suatu petang apabila mahu ke masjid, kita terlebih dahulu mandi dan berwuduk. Selepas itu kita masuk ke bilik, membuka almari dan memilih pakaian yang hendak dipakai.
Ketika memilih, pasti hati kita berkira-kira untuk mengambil pakaian yang cantik, berwarna terang dan kelihatan kemas. Lalu kita mengambil baju berwarna putih, supaya orang mudah kenal siapa pemakainya. Kita mencapai serban dan melilitnya di kepala, ada bermacam cara untuk melilit serban dan semestinya kita memilih cara yang paling kemas dan bergaya agar enak dipandang orang. Akhirnya kita mencalit sedikit minyak atar dan bergerak ke masjid.
Baramgkali kita lupa nawaitu yang seharusnya kita jaga sewaktu mula kita bergerak ke masjid. Seharusnya ketika menyarung pakaian putih, kita terbayangkan kain kafan dan kematian. Apabila kita melilit serban di kepala, kita mahukan pahala menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W. Kita mencalitkan pewangi kerana mengetahui bahawa Rasulullah S.A.W menyukai bau yang harum. Semuanya disebabkan kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Sewaktu menuju ke masjid, minda kita warawiri memikirkan sesuatu. Seingat kita malam ini ada kuliah di masjid. Maka kita akan duduk dan mendengar kuliah itu. Barulah kita dikatakan warak. Jika pengkuliah magrib itu orang bertutur secara sederhana dan topik yang dibicarakan itu tidak menarik maka kita akan mencari rakan borak untuk berbual di belakang, ataupun kita akan bersandar sahaja di belakang. Kalau terus pulang, nanti orang cakap kita ini pemalas.
Barangkali kita terlupa, apabila kita mahu keluar ke mana-mana sewajarnya kita meletakkan niat yang jelas. Bulatkan hati untuk keluar mencari ilmu, bukan mencari kesedapan ataupun keseronokan. Maka kita akan diberikan pahala orang yang berjihad. Tidak perlu mengira siapa pengkuliah dan cara penyampaian. Yang pasti, mencari ilmu akan mendatangkan pahala yang sepatutnya kita kejarkan.
Sewaktu tiba di masjid, hati kita merasa yakin dan puas. Beberapa orang rakan menyapa dan menegur kita dengan wajah yang berseri-seri. Tentu mereka melihat kita seorang yang segak dibandingkan dengan kebanyakan jemaah yang tidak berkopiah, malah berseluar jeans dan berbaju ketat lusuh. Terasa kitalah orang yang paling sasuai untuk menjadi imam solat berjemaah sebentar nanti.
Barangkali kita terlupa bahawa kelapangan waktu yang kita perolehi untuk bersiap, bersuci dan berhias beribadat itu sebenarnya anugerah dan keizinan daripada Allah. Tanpa izin-Nya kita pasti tidak mampu ke masjid atau ke mana-mana. Jadi, tidak perlu memandang apa yang orang pakai sewaktu berada di masjid. Kita tidak tahu bagaimana kesibukan orang lain, barangkali jika mereka mempunyai masa yang luas sudah tentu mereka juga sempat berhias sebaik mungkin.
Selesai solat magrib berjemaah, kita duduk bersandar di sebatang tiang yang agak jauh di belakang. Terasa selesa dan enak sekali duduk di situ, sedangkan pengkuliah berada jauh di hadapan. Kita merasa bebas untuk duduk berlunjur kaki seandainya terasa mengantuk, kita akan tidur sahaja sambil bersandar kepada tiang tersebut.
Barangkali ini sikap kebanyakan kita yang suka menghadiri majlis ilmu dengan sikap sambil lewa. Kita menghadiri kuliah kerana mahu orang pandang, mahu orang nilai, mahu orang puji, dan mahu orang lihat. Rupa-rupanya selama ini hidup kita bermotifkan balasan orang dan bukannya mencari balasan Tuhan. Akhirnya jadilah kita seperti debu-debu yang berterbangan. Na’uzubillah min zalik.
Ketahuilah bahawa ikhlas itu tidakklah sesukar mana tetapi ia perlu dipastikan dengan sungguh-sungguh dalam setiap amalan dan memerlukan sikap istiqomah yang tinggi. Tanpa kesungguhan dan istiqomah maka ikhlas itu sukar diperolehi. Ingatlah, ikhlas itu apabila kita berbuat sesuatu amalan kerana mahukan balasan dari Allah dan bukan dari makhluk.
Jika kita merujuk kepada pandangan ulamak, mereka bersepakat menyatakan ikhlas itu dalam tiga bentuk. Pertama, apabila kita melakukan sesuatu kerana mahukan pahala atau syurga Allah. Kedua, apabila kita melakukan sesuatu kerana mahu menjauhi dosa atau neraka Allah. Ketiga, apabila kita melakukan sesuatu kerana mahukan keredhaan Allah. Sesiapa yang amalannya dimulakan dengan salah satu niat tersebut, maka insya-Allah dia akan mendapat ganjaran di sisi Allah.
Oleh yang demikian, setipa kali kita hendak melakukan sesuatu dan memulakan sesuatu. Intailah dahulu apa yang sedang kita fikirkan. Pastikan nawaitu kita ikhlas dan matlamat kita jelas. Akhirnya, perbuatan kita akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.
Wallahu ‘alam...
*sumber : Generasi Al-Quran Kreatif*
0 ulasan:
Catat Ulasan